3/09/2012
Posted by Bukhari bin Hj Kadam
4 comments | 12:08 pm
Jam 9.00 pagi 6 Mac 2012 yang lalu, saya bergegas ke Johor Bahru setelah menerima berita kematian Wakhilah, isteri kepada anak saudara saya. Saya benar-benar rasa kehilangan dengan kematian beliau. Walaupun hanya sekali-sekali berjumpa, namun Wakhilah antara anak-anak saudara saya yang ceria, peramah, berbudi bahasa, kuat ibadah dan penyayang serta rajin berusaha. Sebab itulah dia bersama suaminya berjaya dalam perniagaan sehingga mengundang rasa dengki dan tidak puas hati terhadap pesaing-pesaing perniagaannya. Biasalah, orang Melayu, tak senang tengok orang lain senang.
Tiga bulan yang lalu, dia sering mengadu keletihan, sering tidak sihat dan hilang selera makan. Puas berulang-alik ke klinik dan hospital untuk meredakan kesakitannya tetapi keadaannya tetap sama malah semakin teruk. Saya menasihati suaminya agar cuba buat 'scan' . Manalah tau kalau-kalau ada apa-apa unsur gangguan mistik. Kata hati saya mengatakan Wakhilah 'diserang' tetapi saya masih merahsiakannya daripada suami dan keluarganya. Sehinggalah suatu hari suaminya membawa Wakhilah untuk mendapatkan rawatan secara Islam, barulah dapat disahkan bahawa dia mengalami gangguan mistik.
Keadaan Wakhilah semakin hari semakin membimbangkan. Perawat demi perawat ditemui sebagai ikhtiar penyembuhan. Namun, keadaannya tidak banyak berubah malah semakin lemah, cengkung dan amat tidak bermaya. Hanya amalan-amalan zikir, doa dan munajat kepada Allah yang menguatkan dia untuk meneruskan perjuangan dalam hidup ini. Sehinggalah suatu hari suami dan keluarganya membawa Wakhilah ke pusat rawatan saya di Seremban (Akrine Seremban). Walaupun terpaksa menempuh perjalanan sejauh 250 km dalam keadaan sakit, dia tetap tabah, sabar dan redha demi mengharapkan kesembuhan.
Melihat keadaannya, saya seolah-olah tidak percaya dengan keadaan Wakhilah. Tidak seperti Wakhilah yang biasa saya temui sebelumnya. Apa nak dikatakan. Allah mengujinya sedemikian rupa sebagai penghapusan dosa, peningkatan darjat dan anugerah pahala sabar yang berlipat ganda di sisi Allah. Saya cuba sedaya upaya sekadar yang termampu dengan ilmu yang terbatas yang ada pada saya untuk menyelamatkan dan memulihkan Wakhilah. Sempat juga saya 'berkomunikasi' dengan jin yang mengganggu Wakhilah untuk mencari asbab dia dizalimi, siapa tuannya dan apa unsur yang digunakan untuk menzalimi Wakhilah.
Beberapa minggu selepas sesi rawatan dengan saya, berita diterima mengatakan Wakhilah telah dimasukkan ke wad ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Keadaannya semakin kritikal dan amat membimbangkan sehingga tidak sedarkan diri. Bantuan rawatan daripada perawat-perawat Islam di sekitar Johor Bahru terus diusahakan. Saya yang tinggal jauh di Seremban sekadar mampu mendoakan dan melakukan rawatan secara jarak jauh.
Manusia hanya berusaha. Ikhtiar dan doa memang milik kita tetapi segala ketentuan adalah milik Allah jua. Takdir Allah mengatasi segala usaha dan ikhtiar manusia selaku hamba-Nya yang lemah. Akhirnya, kami terpaksa akur dan redha dengan kehendak Allah bahawa Wakhilah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan koma pada waktu Subuh, 6 Mac yang lalu. Walaupun zahirnya Wakhilah tewas kepada yang batil tetapi hakikatnya dia menang di sisi Allah sebab memperjuangkan kebenaran sehingga ke penghujung nyawa. Sesekali dia tidak membalasi kejahatan sihir dengan sihir. Sebaliknya merujuk kepada kaedah yang dibenarkan oleh syariat untuk sekurang-kurangnya mempertahankan diri. Mudah-mudahan dia pergi sebagai syahidah. Semoga Allah merestui dan merahmati rohnya dan ditempatkan bersama-sama hamba-hamba Allah yang solehah di sisi-Nya. AL-FATIHAH buat Wakhilah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Al fatihah..
ReplyDeleteal-fatihah, moga rohnya ditempatkan bersama mereka yang soleh2...
ReplyDeletealfatihah...salam takziah
ReplyDeleteal-fatihah..salam takziah buat keluarga arwah.
ReplyDelete