3/01/2012
Posted by Bukhari bin Hj Kadam
No comments | 1:52 pm
Kita tidak nafikan bahawa kehidupan manusia pada zaman moden ini kian canggih dan kian maju. Malangnya kemajuan dan kecanggihan teknologi yang dicapai menyebabkan manusia semakin jauh dari Allah dan semakin renggang dengan sunnah Rasulullah. Kelulusan tinggi melangit tetapi akidah, kepercayaan dan cara berfikir nampaknya kembali ke zaman jahiliyyah.
Apa tidaknya, kes-kes yang dirujuk kepada saya selaku perawat Islam semakin pelik dan ada kalanya tak dapat diterima dek akal yang waras. Pelik tetapi benar. Dalam kes gangguan sihir misalnya, kita biasa mendengar seseorang disihir oleh jiran, rakan sekerja, bekas teman lelaki atau teman wanita, orang bawahan sihirkan bos, peniaga sihirkan peniaga lain dan sebagainya. Ini kes-kes yang dianggap biasa. Tetapi kalau dah melibatkan kes suami sihirkan isteri, isteri sihirkan suami, anak sihirkan emak, emak sihirkan anak, anak-anak pula sihir-menyihir sesama mereka, ini dah kira pelik. Ya Allah, dah hilangkah rasa kasih sayang dalam kehidupan keluarga. Sudah lupakah umat Islam bahawa perbuatan sihir merupakan kerja syirik yang termasuk dalam ketegori dosa besar? Yang sedihnya, berdasarkan kes-kes yang saya kendalikan, kerja-kerja sihir ini turut dilakukan oleh seorang yang berstatus ustaz atau ustazah, pendakwah, dan golongan ilmuwan dalam agama. Nampaknya ilmu yang mereka miliki tidak mampu mentarbiah diri sendiri daripada unsur syirik. Semakin mencabarlah tugas para perawat Islam pada ketika ini.
Puan Y telah disihir sejak beberapa tahun yang lalu. Hasil 'ujian pengesanan' yang saya lakukan, Puan Y rupa-rupanya disihir oleh ibu saudaranya sendiri yang tidak senang dengan kejayaannya. Dalam masa yang sama dia juga disihir oleh teman sekerja di pejabatnya. Lebih memburukkan keadaan, Puan Y juga diganggu jin saka yang datangnya dari pihak suami. Hasil perundingan secara diplomasi, akhirnya jin-jin saka yang mengganggu Puan Y bersetuju untuk berhijrah ke Serambi Madinah. Sebahagian daripada mereka keluar melalui hujung kaki dan sebagaiannya saya arahkan keluar melalui mulut. Pada akhir sesi, Puan Y terbatuk-batuk dan sendawa menandakan jin-jin saka tu keluar nelalui mulut Puan Y dengan izin Allah. Alhamdulillah, satu bab dah selesai, kata hati kecil saya.
Apabila saya mula berurusan dengan jin-jin sihir yang mengganggu Puan Y , mereka 'memaklumkan' bahawa mereka bukan suka pun buat kerja-kerja zalim ini tetapi mereka dipaksa oleh ahli-ahli sihir laknatullah. Puan Y sebelum ini pernah diserang sihir tetapi telah dirawat. Sekarang dia diserang lagi dan berdasarkan 'dialog jari' antara saya dengan ketua jin sihir, mereka dihantar oleh ibu saudara Puan Y yang sakit hati, cemburu, dan tidak dapat menerima kejayaan Puan Y berbanding anaknya yang sebaya dengannya. Biasalah orang Melayu, tinggi tahap 'PhDnya'
Selepas sesi bacaan ruqyah, saya teruskan sesi dengan mengarahkan ketua jin sihir membuang barang-barang sihir daripada tubuh Puan Y. Banyak juga rupa-rupanya barang sihir yang diletakkan dalam tubuh Puan Y, bermula dari kepala sehinggalah ke hujung kaki. Alhamdulullah, ketua jin sihir yang beragama Islam tu memberikan kerjasama yang baik setelah saya dakwah dan tanzirkan dia. Seterusnya, saya mengarahkan semua jin sihir berkumpul dan bersiap sedia untuk dihijrahkan ke Serambi Madinah. Tiga kali juga lah penghantaran dibuat ke atas kelompok-kelompok jin tu. Namun masih ada satu jin yang enggan keluar iaitu ketua jin sihir.
Rupa-rupanya ketua jin sihir tu takut akan diapa-apakan oleh tuannya. Tambahan pula, saya perasan sepanjang sesi rawatan, kami dipantau oleh beberapa ekor lalat yang pastinya utusan atau 'spy' ahli sihir. Setelah dipujuk, diberi jaminan keselamatan dan dipakaikan dengan pakaian halimunan, akhirnya dia setuju keluar dan berhijrah ke Serambi Madinah. Syukurlah, segala-galanya dimudahkan dan diselesaikan dengan izin Allah. Cuma saya berharap Puan Y terus beramal dengan amalan yang saya bekalkan sambil mohon perlindungan daripada Allah agar tidak berlaku lagi serangan sihir ke atasnya pada masa akan datang. Perawat hanya dapat membantu 30% sahaja. 70% lagi perlu dilakukan oleh pesakit itu sendiri. Ingatan kepada sahabat-sahabat perawat, jangan sampai pesakit tu bergantung 100% dengan kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment