11/10/2011
Posted by Bukhari bin Hj Kadam
2 comments | 12:03 pm
Upacara akad nikah antara Cik Yati dan pasangannya berjalan lancar selepas asar. Malam itu suasana rumah Encik Yusri meriah dengan gurau senda, gelak tawa dan keriuhan kanak-kanak yang bermain. Nampaknya semua seronok meraikan pengantin yang akan disandingkan pada hari berlangsungnya majlis walimatul urus keesokan harinya. Semua persiapan telah dibuat, hanya menunggu hari langsungnya sahaja.
Kemeriahan suasana malam itu tiba-tiba terganggu apabila pengantin perempuan tiba-tiba mengadu kepanasan, pening kepala dan sakit-sakit seluruh badan. Saudara Amin, bapa saudara pengantin perempuan cuba memberikan bantuan. Dia ni pun ada asas ilmu rawatan Islam dan selalu membantu sahabat saya Ustaz Rosdi dan para perawat di Bandar Tasik Puteri, Rawang dalam sesi rawatan setiap hujung minggu. Ruqyah mula dibaca dan secara tiba-tiba si pengantin terus lemah, tak bermaya. Saudara Amin seolah-olah tak mampu meneruskan bacaan ruqyah. Lidahnya terkunci dan fikirannya agak bercelaru. Mujurlah dia masih mampu mengulang-ulang Surah Al-Fatihah.
Keadaan semakin kelam-kabut apabila Puan Zah (kakak pengantin perempuan) tiba-tiba kerasukan. Suaranya mula berubah menjadi kasar dan garau (suara lelaki). Perlakuannya juga tiba-tiba menjadi agresif dan sukar dikawal apatah lagi untuk ditenangkan. Rupa-rupanya jin yang mengganggu pengantin telah berpindah kepada kakaknya. Mungkin sebab ada laluan masuk yang mudah. Wallahu ‘alam.
“Aku dah cakap, perempuan ni aku punya. Dah lama aku suka dia. Dah lama aku tunggu dia. Alih-alih, dia kahwin dengan orang lain. Memang aku marah, memang aku tak dapat terima. Serahkan dia pada aku semula. Kalau tidak, kau tengoklah apa aku nak buat nanti. Suami dia pun aku akan kerjakan juga. Kau tengoklah nanti.” Jin yang merasuk kak Zah membebel-bebel.
Dalam kepayahan, saudara Amin menelefon saya yang kebetulan memang tak merawat malam tu. Seronok rasanya sesekali dapat bersantai dan berehat-rehat. Rupa-rupanya Allah tak izinkan perawat buang masa dengan bersantai-santai. Dengan suara yang agak perlahan, saudara Amin minta saya datang membantu. Mujurlah rumah pengantin dengan rumah saya tak la jauh sangat. 10 minit kemudian saya tiba di rumah pengantin. Encik Yusri selaku tuan rumah mempersilakan saya masuk dan mengucapkan terima kasih sebab sudi datang membantu.
Kak Zah terus maracau-racau. ‘Dia’ minta pengantin perempuan ‘dilepaskan’ jadi hak dia barulah semua akan selesai. Banyak cantik muka ‘dia’, bisik hati saya. Bila saya tanya siapa ‘dia’ , datang dari mana, dan apa agamanya, dengan bangganya ‘dia’ memang dah lama nakkan pengantin perempuan tu dan mengaku tinggal tidak jauh dari rumah pengantin, malah ‘dia’ mendakwa ahli surau dan biasa berulang-alik ke surau. Kiranya, orang kuat beramal la jugak. Maklum la ‘orang’ surau….
Setelah usaha memujuk tidak mendatangkan apa-apa kesan, saya terus membacakan beberapa potong ayat ruqyah dengan nada yang keras dengan niat untuk membakar jin yang merasuk tu. Kak Zah menutup kedua-dua belah telinganya seolah-olah enggan mendengar bacaan ayat-ayat Allah. Akhirnya dia rebah dan terus menutup kedua-dua telinganya. Jin tu nampaknya semakin menggelupur kepanasan.
“Kamu nak keluar ke tidak ni?
“Tak naaaaaaakkk….!
“Tak nak ye….aku akan terus ‘bakar’ kamu dengan ayat-ayat Allah…!”
“ Tak naaaakkkkk…. Aku tak nak keluar!”
‘Dos tambahan’ dibuat terhadap ayat-ayat pembakar dan akhirnya jin itu mengalah dan bersedia untuk keluar. Saya arahkan dia keluar melalui mulut. Akhirnya kak Zah muntah dan tak semena-mena dia tersedar daripada kerasukan. Dia terpinga-pinga dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Alhamdulillah…..segala-galanya telah selesai dengan izin Allah. “Dan katakanlah….apabila datang kebenaran, akan lenyaplah kebatilan kerana kebatilan itu sesuatu yang pasti akan lenyap." Al-Israk:81.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
comey sgt pengantinnya hehehe patutlah jin suka hehehe
ReplyDeletegmbr hiasan je kot..ust lupa letak caption tu..
ReplyDelete